Biodata Sultan Muhammad V. Jom kenali Baginda

-Baginda diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

– Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

– Baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

– Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan mendorong baginda berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga 1989.

 

Image result for sultan muhammad v

– Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

– Tanggal 24 Mei 2009, baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

– Pada 13 September 2010 baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

– Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada 2016, Majlis Raja-Raja melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15, berkuat kuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

– Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat mencemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

– Baginda turut membabitkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

– Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

– Selain aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa.

– Baginda berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu Persatuan Menembak Kelantan; Yayasan Sultan Kelantan (YSK); Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan, Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM); Persatuan Bulan Sabit Merah; Persatuan Sukan Berkuda; Persatuan Motor 4 x 4; Persatuan Memanah.

– Baginda dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor – Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan – April 2011)., D.K. (Johor – 2011)., D.K. (Perak – Julai 2011)., D.K. (Perlis – Oktober 2011)., D.K. (Kedah – Mac 2012)., D.K.(Terengganu – November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017).

sumber: BH

Image result for sultan muhammad v

Kisah kerendahan diri seorang raja

Ketinggian peribadi, kerendahan diri; demikian sifat mulia yang terdapat pada diri Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Seri Paduka yang tidak terlalu berprotokol amat menguja dan menyentuh hati rakyat jelata, terutama mereka yang berpengalaman berurusan dengan baginda.

Sifat baginda itu terpancar pada peristiwa kunjungan baginda ke sebuah restoran di Kota Bharu, satu ketika dahulu.

Baginda, ketika itu Tengku Mahkota Kelantan, keluar untuk menjamu selera di Restoran Four Seasons.

Tetapi diberitahu oleh pengusaha, restoran penuh hingga tidak dapat menunaikan permintaan baginda.

Tanpa banyak bicara, baginda pun berlalu dari situ.

Image result for sultan muhammad v

Namun, anda boleh bayangkan betapa kesalnya pemilik restoran Chan Khek Jun yang tidak dapat melayani seorang VVIP!

Mengimbau kembali peristiwa itu, Chan berkata kegagalannya menyediakan meja makan untuk baginda, menjadi kenangan yang paling dikesalkannya sejak restorannya mula beroperasi pada 1998.

Malah, kata Chan, baginda pula yang memohon maaf kepadanya yang berasa serba salah kerana berkunjung ke restorannya ketika dipenuhi pelanggan tanpa membuat tempahan awal.

“Pada hari itu, restoran ini menerima pelanggan yang terlalu ramai sehingga bilik VVIP turut digunakan.

“Selepas mendapat tahu restoran penuh, baginda terus berlalu dan meminta maaf kepada saya kerana tidak membuat tempahan awal,” kata Chan ketika ditemui Bernama di restorannya.

Chan berkata baginda mengunjungi restorannya sekitar tahun 2000 ketika masih bergelar Tengku Mahkota Kelantan – tanpa protokol, tanpa membuat tempahan awal, dan tanpa menitahkan sebarang meja khusus.

“Selalunya baginda akan datang usai solat Isyak bersama Tengku Bendahara Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra (kini pemangku Raja Kelantan), kerabat serta beberapa rakan baginda,” katanya.

Chan berkata baginda biasanya berpakaian jubah putih setiap kali ke restorannya, dan akan bertanya khabar serta bersalaman dengan pelanggan lain di restoran itu.

“Baginda tidak menitah menyediakan pinggan atau sudu dan garpu khusus, dan hanya menggunakan apa sahaja yang ada di restoran ini,” katanya.

Mengenai masakan kegemarannya di restoran itu, Chan berkata baginda gemar masakan yang kurang berminyak, masin dan pedas.

“Justeru, kami akan menggunakan minyak zaitun, mengurangkan garam dan lada dalam setiap makanan dipesan baginda,” katanya.

Chan berkata makanan kegemaran baginda ialah pelbagai jenis ikan seperti kod, kerapu dan siakap yang dimasak stim kicap.

Hidangan lain digemari baginda ialah burung unta masak lada hitam, rusa ‘sizzling’, udang dimasak dengan susu segar, mantou (bun mini), penkek tiram, dan sayur bayam telur masin.

Air halia merupakan minuman kegemaran baginda.

Sementara itu, pekerja Restoran Four Season, Nur Emiezza Mohd Noor, 29, berkata pengalaman menjadi pelayan Sultan Muhammad V akan terus segar dalam ingatannya sepanjang 11 tahun berkhidmat di restoran itu.

Nur Emiezza berkata setiap kali baginda hadir untuk bersantap, beliau akan diamanahkan oleh Chan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Image result for sultan muhammad v

“Pada mulanya rasa gementar, namun keperibadian tinggi Sultan Muhammad V, yang sentiasa merendah diri membuatkan saya tidak lagi kekok,” katanya.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April depan.

sumber: Malaysia Kini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*